Tuesday, 10 May 2016

Apa itu Kajian Tindakan ?

Kajian tindakan sememangnya diperlukan oleh seseorang yang bergelar guru. Kajian tindakan dapat memudahkan kefahaman seseorang itu mengenai sesuatu fenomena atau permasalahan di tempat kerja kerana ianya melibatkan pengumpulan dan penterjemahan data. Dalam kajian tindakan, aspek utama dalam prinsip pelaksanaan ialah matlamat untuk memperbaiki amalan seseorang atau mengatasi masalah yang dihadapi dengan membuat tindakan terhadap penemuan yang didapati tentang sesuatu amalan itu. Kajian tindakan dalam pendidikan menjadi satu perkembangan penting yang memberi alternatif penyelidikan kepada pendidik.

            Menurut Abdul Rahman Abdul Majid (2007), literatur sering mengaitkan kajian tindakan dengan seorang ahli psikologi sosial bernama Kurt Lewin. Kurt Lewin tertarik untuk mengkaji demokrasi dengan perhubungan individu dan kumpulan. Kajian-kajian sosial yang berasaskan tindakan-tindakan diambil untuk menambah baik keadaan. Kajian yang dilakukan tidak semestinya dijalankan sebagai eksperimen terkawal yang terasing dari persekitaran nyata. Kajian perlu bertindak sebagai penentu peningkatan positif yang dapat memberi input kepada perancangan selanjutnya.

            Kajian tindakan dalam pendidikan (sekolah) adalah kajian yang dijalankan oleh guru-guru di sekolah merupakan hasil daripada aktiviti-aktiviti menambah baik pengajaran. Guru-guru boleh menjalankan kajian tindakan ini secara individu atau secara kumpulan. Namun begitu, menurut Abdul Rahman Abdul Majid (2007), kajian tindakan lebih sesuai dijalankan secara berkumpulan yang melibatkan sesuatu isu pengajaran.


            Selain itu, bentuk kajian tindakan juga bertindak secara sistematik untuk menyelesaikan sesuatu masalah secara spesifik. Kajian tindakan lebih menggunakan pendekatan secara kolaboratif dalam sesuatu kajian. Proses kajian ini akan melibatkan perancangan, tindakan, pemerhatian dan refleksi.

No comments:

Post a Comment