Wednesday, 11 May 2016

Kajian Tindakan di Malaysia


Di Malaysia kajian tindakan mula diperkenalkan secara formal kepada 41 orang pensyarah maktab perguruan serta pegawai dari Bahagian Pendidikan Guru (BPG) pada Disember 1988 melalui satu kursus jangka pendek (BPPDP, 2005). Kursus ini dikendalikan oleh Prof. Stephen Kemmis dari School of Education, Deakin University, Australia pada 11 hingga 20 Disember 1988. Dalam tahun 1990an, idea “guru sebagai penyelidik” telah menjadi sebahagian daripada kandungan kursus program pra perkhidmatan dan dalam perkhidmatan di Institut Pengajian Guru Malaysia (IPGM) sehingga kini.

Kegiatan kajian tindakan tmendapat perhatian daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dari tahun 1993 hingga 1996 setelah Projek PIER (Programme for Innovation, Excellence and Research) dilaksanakan dengan peruntukan Pinjaman Bank Dunia Sektor Pendidikan Rendah dan Menengah Ketiga. Program ini diurus setiakan oleh Unit Penyelidikan, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP). Dalam program PIER, empat sub-program telah diwujudkan, iaitu :

                                                          i.             Sub-Program 1 : Inovasi dalam Sains dan Matematik
                                                        ii.             Sub-Program 2 : Sekolah Kecil dan Terpencil
                                                      iii.             Sub-Program 3: Pendidikan Jarak Jauh
                                                      iv.             Sub-Program 4: Penyelidikan Pendidikan.

Setiap program ini diurus oleh seorang Pengurus Program yang merancang, menyelaras, dan memantau perjalanan program. Selain itu, empat orang Pakar Perunding dari universiti di Australia dan lima orang Pakar Perunding dari universiti tempatan juga dilantik untuk memberi khidmat perundingan dari semasa ke semasa. Program kajian tindakan diberi penekanan di bawah Sub-Program Penyelidikan Pendidikan, kerana KPM berpandangan bahawa guru perlu didedahkan dengan ilmu penyelidikan bagi mempertingkatkan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kolaborasi antara Bahagian Pendidikan Guru (BPG) dan BPPDP telah membolehkan satu kumpulan guru dan pegawai dihantar ke United Kingdom untuk belajar teknik-teknik kajian tindakan dengan lebih lanjut lagi untuk membolehkan mereka menjadi fasilitator kursus kajian tindakan.
                                     Laman web rasmi KPM
Kursus yang diikuti oleh empat orang pensyarah IPGM, lima orang guru dan seorang pegawai BPPDP, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu adalah Classroom Action Research di School of  Education and Applied Research in Education (CARE), University of East Anglia, Norwich, England pada tahun 1994. Di samping itu, satu lagi kursus yang dihadiri oleh 11 orang peserta yang terdiri daripada pegawai KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan guru sekolah ialah di Australia pada tahun 1995. Kumpulan ini telah menghasilkan satu Modul Kajian Tindakan pada tahun 1995 untuk digunakan oleh para guru di bawah projek kajian tindakan (BPPDP, 1995).

Untuk menambahkan keberkesanan projek penyelidikan pendidikan ini seorang pakar runding dari The International Development Program of Australian Universities and Colleges (IDP) telah dilantik melalui perjanjian kerjasama antara Kerajaan Malaysia dengan IDP pada 21 Januari 1995. Professor Nerida Ellerton dilantik sebagai pakar runding luar negeri manakala Dr. Kim Paik Lah dari Universiti Sains Malaysia sebagai pakar runding dalam negeri. Melalui khidmat pakar runding ini, beberapa siri kursus dan bengkel telah di adakan di seluruh negara yang melibatkan peserta kursus yang terdiri daripada para guru, pensyarah maktab perguruan serta pegawai-pegawai pendidikan dari Bahagian-bahagian di KPM, JPN, dan PPD.

Maklumat dan pengetahuan yang diperoleh oleh peserta-peserta kursus Kajian Tindakan di luar negara telah disebar luas kepada guru-guru di sekolah melalui modul serta kursus dan bengkel untuk mendapat kesan berganda (multiplier effect) bagi membudayakan penyelidikan di sekolah. Peserta-peserta kursus terdiri daripada pegawai-pegawai pendidikan dan guru-guru sementara fasilitator terdiri daripada pakar runding tempatan, pegawai-pegawai BPPDP, kakitangan sumber yang telah dilatih di bawah PIER dan pegawai-pegawai JPN.

Selain menghadiri kursus kajian tindakan, peserta kursus juga telah menjalankan projek-projek Kajian Tindakan dengan mendapat peruntukan daripada peruntukan PIER di bawah Sub-Program IV (Penyelidikan Pendidikan) yang disalurkan melalui BPPDP. Bagi menyebarluaskan dapatan-dapatan kajian tindakan, seminar-seminar penyelidikan tindakan telah diadakan setiap tahun sejak tahun 1994 hingga kini. Bahan-bahan sokongan seperti Modul Kajian Tindakan juga dihasilkan bagi membantu pelaksanaan kajian tindakan.


Usaha untuk mempergiatkan aktiviti kajian tindakan setelah tamatnya program PIER diteruskan dengan pengagihan peruntukan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar pada tahun 1998 dan 2000. Dengan peruntukan ini, beberapa kursus yang melibatkan guru sains dan matematik telah dapat dijalankan.

Laman web rasmi MOSTI

No comments:

Post a Comment