Wednesday, 11 May 2016

Jenis Kajian Tindakan


Kajian tindakan amalan melibatkan peninjauan tentang amalan guru dalam konteks bilik darjah di mana guru itu mengajar. Ini boleh dijalankan sama ada melalui dirinya sendiri atau pun melibatkan rakan sejawat yang mengajar mata pelajaran yang sama (team-based inquiry) dengan memberi fokus terhadap perkembangan guru (teacher development) dan pembelajaran pelajar (student learning). Guru yang menjalankan kajian tindakan amalan ini mesti melaksanakan satu pelan tindakan bagi mencapai matlamat beliau sebagai seorang guru penyelidik (teacher as researcher).

Dari satu sudut yang lain, Kemmis & Wilkinson (1998) menggariskan enam ciri utama kajian tindakan penyertaan, iaitu:
1.      Kajian tindakan penyertaan yang merupakan satu proses sosial di mana penyelidik meneroka perhubungan antara individu dengan orang lain. Ini adalah untuk memahami bagaimana interaksi sosial dapat “membentuk” orang perseorangan. Dalam konteks pendidikan, ia boleh digunakan untuk meneroka kerjasama antara guru.
                                                                                             
2.      Berbentuk inkuiri bercorak penyertaan. Ini bermakna individu itu melakukan kajian yang berkaitan dengan diri sendiri. Dalam proses ini, mereka meneliti bagaimana pemahaman, kemahiran, nilai dan pengetahuan menggalakkan dan mencegah amalan tindakan mereka sendiri. Contoh apabila guru mengkaji diri sendiri untuk memperoleh pemahaman tentang amalan mereka dan bagaimana pengetahuan ini membentuk kerja mereka dengan pelajar.

3.      Kajian tindakan ini bersifat praktikal dan kolaboratif. Kajian ini bersifat praktikal kerana penyelidik meneroka aspek-aspek seperti komunikasi, penghasilan pengetahuan dan struktur sosial organisasi itu dengan tujuan mengurangkan perkara yang tidak rasional, tidak produktif, tidak adil atau tidak mempunyai interaksi yang memuaskan. Selain itu, kajian ini bersifat kolaboratif kerana ia mementingkan proses inkuiri. Contohnya ialah guru boleh mengadakan kolaborasi dengan guru lain bagi mengurangkan birokrasi kerana jika berterusan mungkin mencegah inovasi di dalam sesebuah bilik darjah.

4.      Kajian tindakan ini bercorak emansipasi. Ia cuba membebaskan seseorang daripada sesuatu kekurangan yang boleh menghalang perkembangan dan keyakinan dirinya. Contohnya ialah kajian tindakan ini boleh digunakan untuk mengubah prosedur birokratik guru di sekolah bagi memudahkan pembelajaran pelajar.

5.      Tujuan kajian ini adalah untuk membantu individu membebaskan diri daripada sesuatu kekangan seperti media, bahasa, prosedur kerja dan apa-apa hubungan tentang kuasa dalam persekitaran pendidikan. Contohnya ialah guru dapat mengelakkan diri dari peranan yang dianggap kurang penting di dalam pelajaran.

6.      Kajian tindakan ini adalah recursive (reflektif atau dialektikal) dan memberi fokus tentang perubahan dalam sesuatu amalan. Ini berlaku dalam bentuk gelung (spiral) refleksi dan tindakan. Apabila guru membuat refleksi tentang peranan mereka di sekolah, mereka akan mencuba daripada satu tindakan ke tindakan lain sehingga mereka berjaya dalam tindakan mereka.





No comments:

Post a Comment